18 April, 2010

JAWAPAN LISAN PERTANYAAN DI PARLIMEN PADA 8 APRIL, 2010


Tuan Haji Taib Azamudden bin Md. Taib [Baling]: Minta laluan. Terima kasih Tuan Pengerusi dan Yang Berhormat Timbalan Menteri. Sebelum Yang Berhormat pergi kepada apa yang ditimbulkan oleh Pokok Sena. Sehubungan dengan yang dijelaskan oleh Yang Berhormat Kubang Kerian tadi, persoalan kita di Malaysia sekarang bukan sahaja antara Islam dengan bukan Islam dalam persoalan agama, tetapi juga berlaku dikalangan umat Islam sendiri dengan pembawaan-pembawaan fahaman yang berbeza.

Walaupun kita tidak mempertikaikan antara fahaman-fahaman dan pegangan-pegangan itu sendiri, tetapi dalam konteks Malaysia atau waqi’ Malaysia dalam suasana masyarakat Islam yang sebegini kecil berbanding dengan sesetengah negara lain.

Maka, sejauh mana penekanan pihak JAKIM, penguatkuasaan kita supaya apa yang berlaku di Malaysia ini adalah berlandaskan Ahlus Sunnah wal Jamaah supaya apa juga pun kepakaran ahi-ahli agama Islam, ilmuwan-ilmuwan Islam yang ditempatkan dalam mana-mana jawatankuasa mewakili Islam, sebolehnya kita pastikan mereka tidak bawa aliran yang menyimpang daripada Ahlus Sunnah wal Jamaah. Ini bukan bererti kita menafikan fahaman-fahaman yang dibawa oleh aliran-aliran wahabi dan sebagainya. Itu bukan persoalan-persoalannya di situ tetapi tanggungjawab kita ialah biarlah kita dapat selesaikan ini supaya elemen-elemen yang boleh membawa perpecahan di kalangan umat Islam itu sendiri dapat dihindarkan.

Kita tidak hendak Islam liberal berkembang di Malaysia, kita tidak hendak fahaman-fahaman yang lain. Ini bukan bermaksud saya menekankan salah atau betul tetapi di dalam maksud tadi supaya kita berada dalam satu kekuatan yang sepadu. Terima kasih.

09 April, 2010

JAWAPAN BAGI BEBERAPA SOALAN USTAZ TAIB DI PARLIMEN PADA 7 APRIL, 2010




Dato’ Wira Chor Chee Heung: Di kalangan pembangkang lah. Saya tidak kira kalau pembangkang kah, kalau Barisan kah, kalau kelakuan mereka ini harus dipuji, kita puji. Betul tidak Yang Berhormat?

Yang Berhormat Baling ini membangkitkan isu keciciran kanak-kanak sekolah disebabkan masalah kemiskinan. Beliau juga berkata mungkin di kawasan beliau mungkin ada kes seumpama ini dan apakah tanggungjawab kerajaan dalam mengatasi masalah ini. Sebagai jawapan keciciran kanak-kanak sepatutnya tidak menjadi isu kerana banyak bantuan dan kemudahan yang telah disediakan oleh kerajaan seperti berikut:

(i) bantuan buku teks percuma;
(ii) Rancangan Makanan Tambahan;
(iii) pemansuhan yuran sekolah;
(iv) Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin;
(v) penyediaan asrama di kawasan luar bandar; dan
(vi) kementerian sentiasa berusaha untuk memastikan akses kepada pendidikan dapat dicapai.

Mungkin Yang Berhormat kalau Yang Berhormat tahu, kawasan kita ini kalau terdapat ada kanak-kanak yang tercicir, tidak pergi sekolah tolong beritahu. Kita tidak kira sama ada penyokong PAS kah, tidak penyokong PAS kah. Mereka ini sama juga sebagai rakyat Malaysia harus diberikan segala-gala kemudahan yang patut diberikan.

Yang Berhormat Baling juga bertanya mengenai promosi makanan halal di London, dan apakah pihak-pihak berkaitan meneruskan promosi makanan halal hub.

Untuk makluman Yang Berhormat Baling program yang dilancarkan di London iaitu Malaysia Kitchen di mana mempromosikan makanan Malaysia dan merangkumi makanan halal. Memang kerajaan meneruskan usaha-usaha promosi ini. Sebagai Contoh pada 23 April, kerajaan akan melancarkan program Malaysia Kitchen di Kuala Lumpur. Aktiviti lain termasuk membangunkan laman web, website Malaysia Kitchen, menyediakan bahan promosi seperti poster, risalah dan lain-lain. Bekerjasama dengan agensi berkaitan seperti Persatuan Hotel Malaysia, agensi pelancongan, Persatuan Chef Malaysia, Istana Budaya dan lain-lain dan menerbitkan buku-buku resipi khususnya yang disediakan oleh chef daripada restoran-restoran Malaysia di luar negara.

Selain itu juga, promosi juga akan ditumpukan kepada penganjuran pameran halal di dalam negeri iaitu Malaysia International Halal Showcase yang akan diadakan pada 23 hingga 27 Jun tahun ini. Para pembeli antarabangsa akan di bawa ke Kuala Lumpur untuk bertemu dengan pengeksport tempatan semasa sesi pemadanan perniagaan atau pun business matching, dengan izin.

Yang Berhormat Baling juga mencadangkan sektor pertanian dipertingkatkan selaras dengan kempen makanan Malaysia dan mencadangkan Malaysia masih lagi perlu mengimport makanan untuk keperluan domestik. Sektor pertanian akan dipertingkatkan Yang Berhormat iaitu melalui satu pertanian berbentuk komersial dan berskala besar, penggunaan teknologi moden yang jelas, pengeluaran yang berkualiti dan mempunyai nilai tambah yang tinggi, manfaat sepenuhnya potensi bioteknologi, penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi, penglibatan usahawan tani dan tenaga kerja yang mahir. Sumber pertumbuhan dalam sektor ini yang menepati ciri-ciri pertanian baru dan sedang dibangunkan termasuk produk bernilai tinggi seperti rumpai laut, ikan hiasan dan burung walit serta pembangunan tangkapan laut dalam atau pun akuakultur, cendawan, bunga-bungaan akan dipertingkatkan lagi.

Saya percaya Yang Berhormat sebagai wakil rakyat ataupun Ahli Parlimen dalam kawasan Baling tentu dapatlah bersama-sama dengan pak tani-pak tani pada setiap hari. Kita semua begitu memberi keyakinan bahawa pak tani-pak tani kita melalui semangat dan kerajinan mereka ini dapat mempertingkatkan lagi hasil. Sama juga dalam kawasan Parlimen Alor Setar, walaupun dengar macam bandar tetapi sesetengah daripada kawasan saya juga merupakan pinggir bandar di mana pak tani-pak tani menjalankan aktiviti mereka ini.

Yang Berhormat Baling juga bertanya mengenai elaun RM450 sebulan kepada imam yang tertangguh. Adakah benar dan di manakah keprihatinan dan tanggungjawab pihak yang berkaitan dalam perkara ini.

Bagi tahun 2010, terdapat pengurangan peruntukan perbelanjaan mengurus JAKIM berbanding dengan tahun 2009. Walau bagaimanapun, JAKIM telah pun meneruskan agihan kepada negeri-negeri bagi elaun imam, elaun guru kelas Al-Quran dan fardu ain, elaun guru takmir dan Pegawai Penyelaras Masjid Daerah, agihan pertama untuk enam bulan telah pun diagihkan kepada 8 Februari.

Memang Yang Berhormat mungkin masa diberitahu itu mungkin benarlah tetapi setakat ini yang saya tahu ini kita sudah bayar dekat dia orang sudah. Kalau ada masalah lagi yang terlepas pandangkah, apakah, Yang Berhormat jangan lupa beritahu saya. Saya akan bertindak dengan serta-merta untuk membantu Yang Berhormat...
[Tepuk]

ISU BEKALAN AIR DI PARLIMEN PADA 7 APRIL, 2010




Tuan Haji Taib Azamudden bin Md. Taib [Baling]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua,dan terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri. Selain daripada apa yang telah dikemukakan oleh Yang Berhormat Tangga Batu, sebelum ini pun saya rasa banyak persoalan air ditimbulkan di Dewan ini. Cuma sekarang ini sejauh mana kita mengambil berat. Ini kerana banyak kawasan yang merupakan tadahan air, kawasan kawasan yang boleh mempertahankan kedudukan ekologi ini sendiri telah diceroboh begitu berleluasa pembalakan menggondolkan bukit, membina bangunan begitu berleluasa. Akhir sekali, apabila kawasan tadahan air ini tidak ada, jadi kita gali telaga pun jawabnya air tidak ada jugalah. Jadi apakah sejauh mana tindakan dan keprihatinan pihak kerajaan bagi menyelamatkan tempat-tempat begini daripada berleluasa dicerobohi seperti pembalakan dan sebagainya.

Puan Noriah Kasnon: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Jika kita bercakap tentang pembalakan yang tidak terkawal ini ya, maka berbaliklah kepada urusan kerajaan negeri. Jadi sebenarnya isu air ini juga adalah menjadi tanggungjawab pihak berkuasa air negeri, kerajaan negeri dan operator-operator bekalan air. Jadi apa yang saya dapat nyatakan di sini adalah saya menyeru pihak-pihak berkuasa berkenaan supaya dapat mengawal khususnya pembalakan yang berleluasa dan tidak terkawal dan banyak juga secara haram ini supaya dapat sama-sama memastikan kawasan-kawasan tadahan air ini khususnya tidak tercemar dan tidak akan menjejaskan bekalan air kepada pengguna pada masa hadapan. Sama juga seperti yang berlaku di Kedah dan Selangor saya kira. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

08 April, 2010

MEMBAHASKAN BAJET TAMBAHAN DI PARLIMEN PADA 6 APRIL, 2010

Tuan Haji Taib Azamudden bin Md. Taib [Baling]: Assalamualaikum warahmatullaahi wabarakaatuh, terima kasih Tuan Yang di-Pertua yang memberi ruang dan kesempatan kepada saya untuk turut membahaskan bajet tambahan di peringkat dasar ini. Ada beberapa perkara yang mungkin sempat disentuh dalam masa yang begitu terbatas ini iaitu pertama sekali saya ingin menyentuh mengenai dengan keciciran kanak-kanak sekolah ini. Tadi, pada sesi soal jawab tadi, ada soalan yang ditimbulkan oleh Yang Berhormat Sri Gading tentang keciciran berpunca daripada tidak adanya dokumen-dokumen yang berkaitan. Soalnya sekarang ialah keciciran ini bukan sahaja masalah dokumen tetapi juga terdapat keciciran ini berlaku di kalangan anak-anak yang pendapatan ibu bapanya atau pun di kalangan anak-anak miskin.



Saya mewakili kawasan saya ini untuk menyuarakan bahawa di kawasan kawasan saya di Baling dan boleh jadi juga di kawasan-kawasan lain keciciran berlaku disebabkan mak bapa tidak mampu untuk menanggung beban persekolahan. Ada yang
sampai ke tahap dua, tahap tiga sekolah rendah terpaksa diberhentikan. Saya rasa kalau sudah pihak kerajaan mampu untuk menyediakan anugerah-anugerah yang tertentu sampai baru-baru ini Anugerah Sukan All England kita dapat sediakan.

Saya tidaklah untuk hendak melahirkan rasa setuju atau tidak setuju dalam hal ini tetapi dalam kita menyediakan anugerah-anugerah yang seumpama ini tetapi di hadapan kita juga ada perkara yang auwaliyat atau yang lebih diutamakan iaitu tentang pendidikan terhadap anak-anak seperti ini. Begitu juga, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyentuh di mana kalau saya tidak silap saya pada 14 Januari 2010 Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri ada melancarkan kempen 1Malaysia di London dan memperuntukkan sejumlah RM10.8 juta mempromosikan makanan Malaysia.

Saya ingin menyentuh dalam kesempatan ini apakah kita atau pihak-pihak yang lebih berkenaan dan bertanggungjawab cuba mengambil peluang untuk mengetengahkan industri halal hub ini di peringkat antarabangsa. Kalau di awal pembentangan Bajet 2010 dahulu, kita dimaklumkan kalau sekiranya halal hub ini diberi fungsi yang sebenar di peringkat antarabangsa akan menjanakan tidak kurang daripada RM1.22 trillion, kalau tidak silap saya. Jadi, dalam kesempatan ini kita rasakan peluang halal hub ini perlu dipertingkatkan lagi lebih-lebih lagi memperkenalkan dan kita berkempen inilah sebenarnya makanan orang-orang Malaysia.

Dato’ Ismail Kasim [Arau]: [Bangun]

Tuan Haji Taib Azamudden bin Md. Taib [Baling]: Sedikit sahaja.

Dato’ Ismail Kasim [Arau]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Baling. Kita mengetahui bahawa keyakinan masyarakat Islam di seluruh dunia tentang halal Malaysia adalah begitu tinggi. Saya difahamkan sampai ada sebuah syarikat di Bangkok bernama Saha Farms yang menguasai industri penternakan di Thailand menggunakan halal hub kita untuk mendapatkan sijil halal bagi memasarkan
daging ke negara-negara di timur tengah. Jadi, kenapa tidak diambil kesempatan atas keyakinan logo halal yang dimiliki oleh kerajaan setakat ini? Apa pandangan Yang Berhormat Baling?

Tuan Haji Taib Azamudden bin Md. Taib [Baling]: Terima kasih kepada Yang Berhormat Arau. Kita tidak nafikan bahawa kita mempunyai maklumat-maklumat bahawa peranan halal hub yang dimainkan telah begitu meyakinkan ataupun mendapat
keyakinan terutama sekali daripada negara-negara luar sebagaimana yang telah disebut tadi di Thailand. Kalau ini kita ambil kesempatan, saya rasa ialah dalam konteks kita di Malaysia ini, inilah salah satu daripada ruang dapat kita menjanakan untuk memperkukuhkan ekonomi terutama sekali gus kepada umat Islam itu sendiri. Jadi, saya setuju dengan Yang Berhormat Arau ini walaupun tidak sama. Saya tidak cakap sebelah sana, sebelah sini. Akan tetapi memanglah dia sebelah sana, saya sebelah sini tetapi dalam konteks bab halal haram ini dia tidak kira sana sini, semua sapu.

Kedua, dalam hal ini Tuan Yang di-Pertua kita nampak sektor pertanian dan juga perikanan dan sebagainya di tempat kita sendiri masih terkebelakang. Kita tidak cuba memperlihatkan suatu penjanaan yang lebih perkasa, yang lebih kukuh, yang lebih kuat. Ini kerana di kawasan-kawasan pertanian seperti mana Baling, Sik, Padang Terap dan sebagainya di Kedah kawasan ini kawasan pertanian. Jadi perindustrian pun ketinggalan. Pertanian pun ketinggalan. Rakyat dan masyarakat di kawasan-kawasan yang macam ini pertumbuhan ekonomi mereka daripada dahulu sampai sekarang serupa. Macam mana kita hendak janakan makanan dan pemakanan kalau kawasan kawasan pertanian yang boleh dipertingkatkan mempunyai potensi yang begitu baik. Kita tidak membekalkan atau kita tidak menjuruskan ini sebagai suatu yang agak lebih serius, yang lebih kemas lagi.

Jadi, saya cadangkan supaya sektor pertanian ini dipertingkatkan lagi dari semasa ke semasa lebih-lebih lagi dalam suasana Malaysia dengan kempen makanan Malaysia ini sendiri. Hasil pertanian tempat kita pun sebenarnya tidak mencukupi dan kita mempunyai data-data khusus bahawa kita perlu import banyak bekalan-bekalan makanan hasil pertanian daripada luar. Dalam Islam sendiri sebenarnya pertanian ini lebih diutamakan daripada perindustrian yang lain kerana kalau yang lain di perkasa, rakyat ada duit tetapi makanan tidak ada. Berbanding dengan makanan ada, kalau rakyat tidak ada duit pun makanan ada, dia tidak lapar. Inilah dari segi apa yang dibawa oleh Islam.

Ketiga Tuan Yang di-Pertua, saya ingin menyentuh juga walaupun banyak bajet dipotong, di peringkat sekolah di potong sehingga sesiapa anak-anak yang duduk di asrama penuh masih hendak duduk di asrama hari Jumaat, hari Sabtu, atau pun hari
Sabtu, hari Ahad mereka kena bayar sendiri. Ada sekolah-sekolah asrama penuh dan
sekolah-sekolah yang tertentu yang dikenakan bayaran. Maknanya kena cari sendiri, urus sendiri untuk hendak bayar api, hendak bayar air dan sebagainya. Akan tetapi yang saya sedih juga, turut menjadi mangsa ialah ini mewakili imam 2, imam 3, imam 1
di seluruh negara ini. Peruntukan mereka pun bukan banyak sangat. RM450 sebulan tetapi ditangguhkan bayaran elaun. RM450 sebulan pun kena tangguh kah? Jadi, inilah yang susah kita hendak bercakap bahawa keprihatinan dan tanggungjawab kita tadi. Kalau RM450 sebulan, elaun-elaun imam 1, 2, 3 di bawah JAKIM seluruh negara ini pun kita kena tangguh. Kononnya kerana JAKIM juga menerima pemotongan peruntukan ini. Jadi, saya rasa tidak wajar sangat kepada peringkat RM450 ini. RM450 ini tergolong dalam golongan miskin tegar, pun kena tangguh. Saya ingat dalam kesempatan ini kita kena lihat balik dan kita kaji balik.

Seterusnya Tuan Yang di-Pertua, saya ingin melahirkan rasa keadaan di mana sesi penggal ketiga ini, Dewan kita ini nampaknya banyak sangat timbul benda-benda kaum dan bangsa. Memang siapa hendak nafikan bangsa? Ada berbagai-bagai bangsa. Habis kalau Melayu bangun bercakap bab Melayu dia, kalau Cina bangun bercakap bab Cina, kalau India bangun bercakap bab India, tidak baiklah pula nasib Orang Asli pasal tidak ada wakil Orang Asli dekat sini.

Sampai bila kita hendak bercakap dari segi bangsa? Bukan bermakna kita tidak iktiraf bangsa. Memang kita dijadikan berbangsa. [Membaca sepotong ayat Al-Quran] Ini Al-Quran. Siapa boleh menafikan bangsa? Namun Allah tidak minta dengan bangsa itu kita jadikan sebagai perkauman terutama sekali kepada orang Islam. Saya tidak kira sama ada parti siapa ini. Ini bukan bercakap masalah bab parti. Jadi, kalau kita bangun di sini untuk bercakap bab perkauman, apa makna kita jadi wakil rakyat? Kalau kita bangun di sini untuk bercakap bab perkauman, biarlah dalam pilihan raya kita kempen
kaum kita sahaja undi kita. Kaum lain jangan undi kita. Biarlah kalau ‘haq’ yang cakap
bab perkauman dok cakap Melayu-Melayu, Melayu sahaja undi dia. Yang Cina jangan
pilih dia, yang India jangan pilih dia. Ini konon jadi wakil rakyat. Cakap sini bercakap hanya mewakili bangsa. Kita kena ingat hujung ayat al-Quran tadi [Membaca sepotong ayat al-Quran] itu, Allah letakkan supaya kita saling kenal mengenal. Yang duduk dalam Dewan ini ada India, ada Cina, ada Melayu dan wallahualam mungkin ada bangsa lain. Fizikal Nampak serupa tetapi agungnya Allah ialah boleh bercakap dengan berbagai-bagai bahasa, budaya berbeza, suasana kedudukan berbeza. Ini keagungan Allah. Sebab itu akhir ayat itu, [Membaca sepotong ayat al-Quran]. “Orang yang paling mulia di sisi Allah ialah yang paling bertakwa”. Bukan masalah orang yang paling hebat di sisi Allah kerana Melayunya, kerana Cinanya, kerana Indianya. Saya rasa suatu perkara yang mahu tidak mahu kita telah pun melanggar kedudukan-kedudukan ini. Bukan setakat dari segi Perlembagaan tetapi fitrah nature kita. Kita hendak pergi ke mana kalau kita perjuangkan bangsa di Malaysia? Jangan kita cuba menempah suasana.

Pagi tadi anak-anak kita di barisan belakang itu tadi datang untuk melihat, untuk expose mereka apa suasana yang berlaku di Dewan. Tiba-tiba ada wakil-wakil kita yang bercakap masalah bangsa. Kita jangan cuba pupuk mereka untuk rasa perkauman kerana akhir sudahnya malapetaka akan berlaku dalam negara ini kalau semua bangun di atas sifat sentimen perkauman.

Dato' Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Minta penjelasan.

Tuan Haji Taib Azamudden bin Md. Taib [Baling]: Minta maaf kot Yang
Berhormat Pasir Salak. Ada masa sikit.
Dato' Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Sikit saja. Sikit. Pertama saya hendak tanya. Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat.

Tuan Haji Taib Azamudden bin Md. Taib [Baling]: Jangan panjang sangat.

Dato' Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Tidak ada. Sikit sahaja. Pertama, saya hendak tanya. Yang bertakwa ini siapa? Orang yang macam mana yang bertakwa. Satu. Keduanya, Yang Berhormat cakap secara umum. Tidak adil kerana itu mewujudkan spekulasi. Dari Islam tidak betul itu. Mengundang fitnah. Mengundang fitnah. So, daripada sebab itu, untuk mengelakkan daripada fitnah, Yang Berhormat kena khusus siapa dia yang bercakap perkauman dan juga yang tidak perkauman?

Tuan Haji Taib Azamudden bin Md. Taib [Baling]: Tidak apalah. Okey, terima kasih. Kalau saya hendak jawab bab takwa ini, 15 minit masa tidak cukup.

Beberapa Ahli: [Ketawa]

Tuan Haji Taib Azamudden bin Md. Taib [Baling]: Saya jemput Yang Berhormat Pasir Salak ikut kuliah sayalah dekat Kuala Lumpur. [Tepuk] Jadi saya rasa umum tidak umum pun, siapa yang makan cili dialah yang pedas.

Tuan N. Gobalakrishnan [Padang Serai]: Cili padi! Cili padi!

Dato' Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Itu tidak mengikut Islam, itu, tok imam.

Tuan Haji Taib Azamudden bin Md. Taib [Baling]: Jadi begitu juga kita agak nampak macam keterlaluan. Bagi yang memperjuangkan gender, lelaki wanita, lelaki wanita, kita kena akur kedudukan ini. Ada tempat untuk lelaki dan ada tempat untuk wanita. Kadang-kadang kita bercakap masalah gender, kita bercakap masalah lelaki wanita seolah-olah kita tidak menghormati lagi fitrah itu. Tempat-tempat itu walau apa pun, kita hendak memperjuangkan kedudukan orang lelaki, kita hendak perjuangkan kedudukan orang wanita, mesti di atas tempat-tempatnya yang sememang dalam konteks Islam yang diciptakan oleh Allah.

Al-Quran sendiri kalau hendak kira dari sudut itu, al-Quran ada Surah An-Nisa’. Dia tidak ada Surah Al-Rijat. Tidak tahulah kalau Yang Berhormat Pasir Salak jumpa. Ada Surah An -Nisa’. Surat makna nama An-Nisa’, wanita. Tidak ada surah untuk lelaki. Minta maaf Yang Berhormat Pasir Salak. Jadi bukan bermakna al-Quran itu sendiri meletakkan dari segi dasarnya ialah gender. Jadi saya rasa agak banyak kita memanfaatkan masa Dewan ini untuk kepentingan yang boleh kita bawa lebih jauh kepada negara kita ini sendiri, rakyat dan masyarakat kita dalam menghadapi kemajuan
dan pembangunan rohani dan jasmani ini dari sudut masa hadapan. Ke depan lagi dengan kita habis masa duduk bercakap bab masalah Melayu, duduk bercakap bab
masalah... [Disampuk]

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]:
Masa, masa Yang Berhormat Ustaz pun dekat hendak habis pun sebenarnya.

Tuan Haji Taib Azamudden bin Md. Taib [Baling]: Satu minit tidak boleh Tuan Yang di-Pertua ya? Satu minit bagi hendak gulung.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Oleh kerana perbahasan-perbahasan lepas, Ustaz tidak bercakap, saya bagilah satu minit itu.

Tuan Haji Taib Azamudden bin Md. Taib [Baling]: Jadi saya sebagai menggulung menghormati Tuan Yang di-Pertua, apa yang sempat saya timbulkan ini saya rasa mudah-mudahan bukanlah hendak mengajar itik berenang terutama sekali tetapi untuk menjemput keprihatinan kita, tanggungjawab kita dan juga orang kata kedewasaan kita ini lebih terserlah sebagai pemimpin masyarakat. Wallahualam. Terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]:
Terima kasih Yang Berhormat. Saya pun ingin memperingatkan jugalah. Perjuangkanlah apa sahaja yang patut diperjuangkan. Namun gunalah perkataan yang elok, yang manis. Kalau pedas rasa perasaan sendiri, pedaslah juga pada orang lain.

JAWAPAN LISAN BAGI PERTANYAAN DI PARLIMEN PADA 6 APRIL, 2010

8. Tuan Haji Taib Azamudden bin Md. Taib [Baling] minta Perdana Menteri menyatakan bahawa bidang kuasa pensijilan halal telah dikembalikan di bawah kuasa JAKIM sepenuhnya dan bagaimana pula perbelanjaan yang telah diperuntukkan dalam jumlah yang besar kepada HDC sebelum ini, apakah HDC akan diberhentikan operasinya.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri [Dato’ Dr. Mashitah binti Ibrahim]: Waalaikumussalam warahmatullaahi wabarakaatuh. Terima kasih Yang Berhormat Baling,
Tuan Yang di-Pertua. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengambil alih kuasa pensijilan Halal daripada HDC pada 1 Ogos 2009. Sejak itu kuasa pensijilan Halal hanya kepada JAKIM, dan HDC memberi tumpuan kepada promosi dan peningkatan industri halal di peringkat antarabangsa. Kini HDC diletakkan di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI). Ini diperkuatkan lagi dengan keputusan Jemaah Menteri pada 18 Ogos 2004 supaya keupayaan teknikal JAKIM untuk mengendalikan pensijilan Halal dipertingkatkan dengan menempatkan pegawai-pegawai teknikal di JAKIM. Berhubung dengan peruntukan kepada HDC pada tahun 2008, HDC telah memaklumkan bahawa peruntukan tersebut akan digunakan untuk membangunkan sistem halal dan juga untuk promosi di luar negara. Terima kasih.

Tuan Haji Taib Azamudden bin Md. Taib [Baling]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih Yang Berhormat Menteri. Sebenarnya saya dari awal lagi memang tidak setuju atau kurang setuju HDC mengambil alih kuasa untuk pensijilan Halal ini. Sekarang diambil oleh JAKIM balik saya ucap tahniahlah. Cuma persoalan di sini ialah sejauh mana persiapan pihak JAKIM dalam pemantauan, penguatkuasaan iaitu mekanisme yang digunakan selepas ini, supaya pensijilan Halal ini tidak berulang lagi disalahgunakan oleh pihak-pihak yang tertentu yang dengan sendiri sekali gus menipu umat Islam. Begitu juga difahamkan sekarang ini ada kedai-kedai makan, restoran-restoran makan yang tidak halal tetapi digunakan seolah-olah macam halal. Guna wanita pakai tudung dan begitu juga ada tauke dia pakai ketayap tetapi bukan halal. Ada juga semata-mata kita nampak yang bukan mamak tetapi hendak me’mamak’kan, hendak mengaburi mata orang. Jadi orang Islam ini dia tidak perasan benda itu boleh jadi kulit serupa. Begitu juga macam-macam jelmaan. Ada yang menggunakan kalimah Allah di dinding kedai, guna Muhammad. Kita tanya kami pun pakai nama Allah juga dan Muhammad ini tanda pelaris kedai. Jadi benda-benda ini sudah berlaku dalam masyarakat kita. Apa tindakan JAKIM? Terima kasih.

Dato’ Dr. Mashitah binti Ibrahim: Terima kasih kepada Yang Berhormat Baling atas sokongan yang sentiasa bersama-sama dengan kita. Pada soalan pertama, sejauh mana persiapan kita Yang Berhormat. Sebenarnya Yang Berhormat, mekanisme yang telah kita gunakan untuk mengatasi masalah Yang Berhormat bangkitkan ini ialah dengan kita melaksanakan 1Halal 1Malaysia. Buat masa sekarang kita telah membuat satu kempen secara besar-besaran supaya pihak semua sedar bahawa sekarang ini hanya ada satu pihak sahaja yang mengeluarkan sijil Halal. Bahkan kita lihat bahawa enam syarikat swasta yang berada di Malaysia pun sekarang ini telah menyerahkan supaya hanya pihak JAKIM sahaja yang dapat mengeluarkan sijil tersebut. Insya-Allah Yang Berhormat dengan kempen yang berterusan saya percaya ia dapat memberi satu kesedaran kepada rakyat untuk sedar bahawa hanya pihak JAKIM sahaja yang berhak untuk mengeluarkan sijil-sijil tersebut. Berhubung dengan restoran restoran yang boleh mengelirukan masyarakat dengan menggunakan pekerja-pekerja yang bertudung mahupun menggunakan ayat-ayat Quran dan sebagainya. Dalam hal ini kesedaran daripada pengguna itu sendiri harus ada.
Di pihak kerajaan Yang Berhormat, kita akan melaksanakan pindaan kepada Akta Perihal Dagangan 1972 di bawah KPDNKK. Ini yang mana dengan adanya akta ini ia melantik pihak JAKIM sebagai competent authority dalam pensijilan Halal Malaysia -iaitu kalau dahulu JAKIM Yang Berhormat, istilah bahasa orang Kedah dia kata ‘tumpang toi’ sahaja Yang Berhormat - kita ini menumpang sahaja kepada KPDNKK untuk membuat serbuan dan sebagainya.
Dengan adanya pindaan ini kita telah memberi satu kuasa kepada pihak JAKIM untuk membuat pemeriksaan, membuat rampasan dan juga menggeledah serta membolehkan pihak JAKIM sendiri masuk kepada premis. Jadi insya-Allah dengan adanya pindaan kepada APD 1972 ini diharapkan kuasa yang lebih ada kepada pihak JAKIM untuk memantau kepada restoran-restoran Yang Berhormat sebutkan. Terima kasih.

Dato' Haji Lilah Yasin [Jempol]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Rakyat keliru tentang soal halal haram ini kalau sekiranya lambang tudung, ketayap ini dipamerkan hanya hendak menentukan soal halal ataupun tidak. Apa yang pentingnya lesen ini dikeluarkan oleh kerajaan tempatan. Apakah JAKIM tidak boleh menggunakan kuasa yang ada di kerajaan tempatan yang mengeluarkan lesen kepada seluruh peniaga-peniaga yang berniaga di mana mana juga premis dalam negara kita supaya dapat kita kuasakan undang-undang yang ada dalam kerajaan tempatan ini bagi memastikan seluruh rakyat kita tidak ditipu dalam soal halal ataupun haram.

Dato’ Dr. Mashitah binti Ibrahim: Terima kasih Yang Berhormat Jempol. Yang Berhormat Jempol kalau kita tengok dalam hal ini, kita tidak dapat mengatakan bahawa dengan keadaan bertudung dan sebagainya itu boleh mengelirukan. Sekarang ini untuk mendapatkan lesen halal ini adalah satu perkara yang masih lagi tidak diwajibkan dalam negara kita - ia diwajibkan untuk tujuan komersial dan sebagainya. Cuma apa yang dapat kita buat kita harus memberi kesedaran kepada pengguna itu sendiri. Dia harus peka kepada restoran yang dia hendak masuk itu, walaupun dia lihat bahawa pekerjanya mungkin meletakkan ayat Quran dan sebagainya. Kita minta supaya customer ataupun pelanggan menyemak dan melihat adakah di sana ada logo Halal daripada pihak JAKIM yang ditampal. Maknanya sekarang ini daripada customer ataupun pelanggan sendiri harus ada kesedaran untuk menyemak terlebih dahulu. Jangan sekadar menganggap ataupun macam Yang Berhormat sebutkan tadi, kalau setakat ada pekerja yang bertudung itu sudah dianggap sebagai restoran yang halal. Terima kasih.

27 March, 2010

ISU TULISAN JAWI DI PARLIMEN

Semasa Sesi Perbahasan Titah Diraja Pada 23 Mac, 2010, Yang Berhormat Ustaz Taib telah menyentuh tentang Isu Tulisan Jawi di Sekolah. Ikuti pandangan beliau :

23 March, 2010

PERTANYAAN BAGI JAWAB LISAN DEWAN RAKYAT 22 MAC, 2010

Yang Berhormat Ustaz Haji Taib Azamudden telah mengemukakan pertanyaan bagi Jawab Lisan di dalam Parlimen pada 22 Mac, 2010. Berikut adalah Teks pertanyaan beliau:

44. Tuan Haji Taib Azamudden bin Md Taib [Baling] minta MENTERI PELAJARAN menyatakan kenapakah Kementerian memotong peruntukan makanan para pelajar yang tinggal di asrama sekolah pada hari Jumaat / Sabtu dan Ahad, sejauh mana beban perbelanjaan yang dipikul oleh Kerajaan di hari-hari tersebut.